"Keluar kamu sekarang dari kampung aku. PAS tidak ada tempat di Sarawak. Tempat PAS di Kelantan. Untuk apa kamu di sini, kami sudah ada Ripin Lamat," demikian sergah seorang lelaki kepada petugas PAS yang sedang mengedar bubur kacang di jalan masuk sebuah kampung.

Difahamkan, beliau Ketua Kampung di situ, sergahannya kasar sekali. Calon PAS N.72 Dun Lambir, Arifiriazul Paijo yang kebetulan singgah tersengih memerhati hamunan lelaki itu.

Usaha petugas PAS berunding tidak dihiraukan, sebaliknya mahu semua segera beredar dari situ. Makinya, PAS tidak memberi apa-apa dan hanya BN membawa pembangunan.

Disebalik tidak puas hati petugas PAS, rata-rata merasa geli hati melihat sikap tidak matang dan emosi lelaki itu. Tetapi semua memahami, tidak ada guna berhujah dengan orang bebal seperti itu.

Dangkal sekali dia dalam mengerti makna 'pilihan raya'. PAS dihalaunya itulah yang gigih menempuh pelbagai kegetiran demi membela hak dan kepentingan penduduk negeri ini. Bukannya datang untuk mengambil hasil dan kekayaan Sarawak sebagaimana dirakusi BN terhadap negeri ini.

Perlakuannya itu bukanlah mewakili sikap sebenar rakyat Sarawak yang terkenal sangat menghormati tetamu. Tetapi inilah vektor bawaan BN sepertimana tindakan menyekat ramai individu masuk ke Sarawak melalui Imigresen.

Setelah lebih 50 tahun BN berkuasa, mata mereka masih tidak nampak haloba parti itu menjadi kuasa kapitalis yang bertindak memenuhi tembolok serakah politik pihak tertentu.

Lihat sahaja bandar-bandar di Sarawak, boleh dikatakan semuanya pesat membangun dengan segala kemudahan yang menyenangkan. Tetapi dipinggir bandar, kedaifan teramat ketara, jurang kaya miskin jelas sekali.

Lebih malang, kemudahan yang begitu asasi seperti bekalan air bersih dan elektrik gagal diadakan. Bahkan begitu besar isu pemilikan tanah kebanyakan rakyat. Jadi untuk siapa segala kelebihan Sarawak? Zahirnya, golongan kaya semakin kaya, sedang si miskin terus dihimpit kemelaratan.

Kesombongan ditunjukkan lelaki itu antara contoh yang mereputkan tamadun manusia dengan membiarkan diri dihamba secara tidak sedar. Sedangkan Allah melahirkan setiap makhluk-Nya merdeka dengan Islam.

Pun begitu layanannya, PAS tidak akan 'pulang' kerana PAS tidak pun 'datang' ke Sarawak. PAS sebenarnya 'subur' di sini sebagaimana 'tumbuhnya' pepohon yang melata hijau di mana-mana.