PIMPINAN PAS DIMINTA MENINGGALKAN SARAWAK HARI INI 5 MEI 2016

TERKINI: Timbalan Presiden PAS Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan, Ketua Penerangan YB Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi, Pesuruhjaya Kedah Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurrazi dan puluhan petugas PAS diminta meninggalkan Sarawak hari ini 5 Mei 2016.

PAS Sarawak telah menghantar surat rasmi ke Pejabat Ketua Menteri Sarawak bertarikh 3 Mei 2016 untuk memohon memanjangkan tempoh had masa pimpinan dan petugas PAS berada di Sarawak. Beberapa pimpinan PAS antaranya Ketua Pemuda YB Ustaz Nik Mohamad Abduh dan Timbalan Ketua Pemuda Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi mendapat kelulusan untuk had masa tambahan 7 hari.

 

Selain itu, kita juga mengucapkan terima kasih kerana beberapa pimpinan tertinggi PAS dibenarkan masuk tanpa halangan seperti Naib Presiden YB Dato' Iskandar Abdul Samad, Naib Presiden YB Ustaz Idris Ahmad dan Ketua Pengarah Pilihanraya Dato' Hj Mustafa Ali.

Terima kasih. Harap maklum.

Mukhtar Suhaili,
Setiausaha PAS Sarawak.

5 Mei 2016 | 27 Rejab 1437H

*****************

Kenyataan Media
Badan Perhubungan PAS Negeri Sarawak (BPPNS)

SEKATAN IMIGRESEN TERHADAP PELAWAT MERUGIKAN SARAWAK

Ramai pelawat dari luar terutama dari Semenanjung Malaysia mengadu masalah mereka sukar untuk masuk ke Sarawak ketika ini. Yang menjadi viral dan heboh sekarang adalah pihak Imigresen Sarawak tiba-tiba memberi pas lawatan terlalu singkat kepada pelawat dari Semenanjung dengan hanya boleh tinggal di Sarawak sehingga 5 Mei sahaja.

Tindakan ini tidak sepatutnya berlaku dan hanya akan memalukan Sarawak di mata dunia. Mengapa perlu menyekat rakyat Malaysia dari memasuki negara sendiri? Walaupun Sarawak mempunyai kuasa imigresen sendiri tetapi janganlah disebabkan ada kepentingan politik pihak tertentu ianya disalahgunakan.

Ini bukan sahaja menyusahkan dan merugikan para pelawat dari luar yang sudah lama menempah tiket pesawat bahkan secara tidak langsung ia menjadi sesuatu yang asing sekiranya rakyat Malaysia sendiri disekat masuk ke negara sendiri. Sarawak adalah sebahagian dari Malaysia dan mengapa perlu menyalahgunakan kuasa imigresen untuk kepentingan tertentu.

Sekarang adalah musim Pilihan Raya Negeri Sarawak dan masa untuk rakyat memilih kerajaan baru. Maka adalah tidak wajar dan menyalahi etika sekiranya pihak imigresen mengikut telunjuk dari mereka yang ada kepentingan.

Mungkin kita tidak dapat hendak menyalahkan pihak imigresen dalam hal ini kerana mereka hanya menerima arahan dari pihak atasan. Kalau sekiranya Ketua Menteri Sarawak (sementara) sekarang masih menggunakan kuasa imigresen untuk menjaga kepentingan peribadinya, maka amat malang sekali dasar demokrasi di negara ini sudah hampir mati dan seolah-olah kita sudah berada di negara yang mengamalkan dasar pintu tertutup.

Sepatutnya kerajaan sementara Sarawak bersikap lebih terbuka menerima tetamu dan pelawat dari luar kerana ianya banyak memberi manfaat kepada ekonomi Sarawak dengan kedatangan lebih ramai pelawat ke Sarawak pada masa Pilihan Raya ini. Ia secara tidak langsung akan merancakkan lagi ekonomi penduduk tempatan.

Justeru itu, kita menggesa pihak imigresen menarik balik sekatan tersebut terutama kepada pelawat dari Semenanjung Malaysia yang datang ingin melihat dan membantu petugas di Sarawak semasa Pilihan Raya ini. Jika Barisan Nasional yakin mampu menang dan mengekalkan kerajaan, maka usah gentar dan tiada keperluan melaksanakan sekatan seperti ini.

Kerjasama daripada pihak imigresen agar masalah ini ditangani secara professional dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana parti politik amat dihargai.

Terima kasih.

Dikeluarkan Oleh:
Jofri Jaraiee
Pesuruhjaya PAS Sarawak
Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Miri.

Tarikh: 30 April 2016 | 22 Rejab 1437H